Wednesday 13 February 2013

Rawatan Hati



Berdiri di hadapan cermin sambil mengamati rupa paras dengan teliti, kemudian menambah apa yang kurang dan mengatur apa yang patut untuk kelihatan lebih menarik adalah lebih mudah daripada memperbaiki sikap dan mentaliti peribadi.

Tubuh badan yang zahir adalah jelas berbeza dengan keperibadian sebenar yang begitu rahsia sifatnya. Hanya yang memiliki badan sahaja yang mengetahui manusia jenis apakah dia sebenarnya.

Rajin lawannya malas, usaha lawannya putus asa, pemarah lawannya pemaaf, penipu lawannya jujur, sedih lawannya gembira, sabar lawannya gopoh, membazir lawannya cermat, bersih lawannya pengotor, dan sebagainya. Kita tentu akan memilih sifat yang baik untuk membentuk jatidiri. Tetapi adakah semudah membalikkan tangan untuk merubah diri kita agar lebih baik daripada yang ada sekarang?

Kadang-kadang kita terlalu sedih memikirkan nasib diri yang tidak mahu berubah, iman semakin menipis lalu amal menjadi berkurangan yang mengakibatkan hati tercemar oleh kuman-kuman penyakit sehingga menzahirkan sikap yang negatif untuk diri dan orang di sekeliling kita.



Rasulullah SAW bersabda: 
“Ketahuilah dalam jasad manusia ada seketul daging, jika ia baik maka baiklah jasad itu dan jika ia rosak maka rosaklah jasad itu, itulah yang dinamakan hati.”
 (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Terdapat 18 cara dan rawatan hati yang perlu dilakukan supaya hati kalian dapat dirawat dan terhindar daripada penyakit hati. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1.  Mentarbiah hati supaya mencintai Allah SWT dengan sedalam-dalamnya.
2.  Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran.
3.  Mendekatkan kepada Allah SWT dengan amalan-amalan sunat.
4.  Khusyuk dalam solat.
5.  Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah SWT.
6.  Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah SWT dan mengharapkan keredaan-Nya.
7.  Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.
8.  Beriktikad dengan akidah yang betul.
9.  Sentiasa melakukan muhasabah diri.
10.  Memperuntukkan masa bagi Allah SWT menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.
11.  Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.
12.  Tunduk dan khusyuk kepada Allah SWT dalam segenap tindakan dan perbuatan.
13.  Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.
14.  Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah SWT.
15.  Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.
16. Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan.
17. Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.
18. Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang soleh yang boleh dijadikan teladan.



Sumber:

  • Laman Web Rasmi Mufti Perlis
  • Cinta Allah Cinta Abadi


No comments:

Post a Comment