Wednesday 20 February 2013

Mat Luthfi Berkarya Puitis





Hanya ada dua nama yang pernah aku jerit ke hujung tekak.

Kau,

dan Tuhan.

Dan telahku sebut nama Kau dahulu - berkali-kali, sebelum Tuhan.

Kerna aku fikir, Kau akan dapat dengar apa aku rasa jika aku jerit nama Kau seraung suara.

Tak, Kau tak dengar.

Aku ragu Kau cuba.

Tapi malam itu aku terjelepok di kaki lima, di tepi jalan desa.

Melutut kepada Kau, separuh menyembah.

Menangis mengalahkan budak kecil, berhingusan teresak menggenggam dada kiri, cuba meredakan sakit di hati.

Tak sangka hati manusia boleh literally sakit.

Tak sangka sehingga begitu.

Aku sedar selama ini aku telah menjerit nama yang salah.

Nama yang kuingat tuan empunya kepada hati carik ini.

Lalu terjerit juga nama Tuhan,

Tuhan yang selama ini entah di mana.



"Allah tolonglah aku!"

"Allah!"

"Tolongla aku..."

Dengan tak malunya menagih simpati Kuasa yang wujudnya dipersoalkan,

dipejam matakan.

Langit kelabu tak berawan malam itu meski luas, tak terdongak aku menahan hina.

Mujur tiada sesiapa yang lalu-lalang.

Mungkin kerana lewatnya malam.

Selewat dosaku.

Sudah lebih setahun malam itu.

Terima kasih Tuhan.


Karya:  MatLuthfi @IniSemut.
Foto2: UmarMita

Thursday 14 February 2013

Opick Rapuh Lirik





Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka
Tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan

Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan air mata
Ku persembahkan kepadaMu
Yang terindah dalam hidupku

Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu

Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dada ku harap hanya
Dirimu yang bertakhta

Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir padaMu



Sumber: 1LirikLagu



Wednesday 13 February 2013

Rawatan Hati



Berdiri di hadapan cermin sambil mengamati rupa paras dengan teliti, kemudian menambah apa yang kurang dan mengatur apa yang patut untuk kelihatan lebih menarik adalah lebih mudah daripada memperbaiki sikap dan mentaliti peribadi.

Tubuh badan yang zahir adalah jelas berbeza dengan keperibadian sebenar yang begitu rahsia sifatnya. Hanya yang memiliki badan sahaja yang mengetahui manusia jenis apakah dia sebenarnya.

Rajin lawannya malas, usaha lawannya putus asa, pemarah lawannya pemaaf, penipu lawannya jujur, sedih lawannya gembira, sabar lawannya gopoh, membazir lawannya cermat, bersih lawannya pengotor, dan sebagainya. Kita tentu akan memilih sifat yang baik untuk membentuk jatidiri. Tetapi adakah semudah membalikkan tangan untuk merubah diri kita agar lebih baik daripada yang ada sekarang?

Kadang-kadang kita terlalu sedih memikirkan nasib diri yang tidak mahu berubah, iman semakin menipis lalu amal menjadi berkurangan yang mengakibatkan hati tercemar oleh kuman-kuman penyakit sehingga menzahirkan sikap yang negatif untuk diri dan orang di sekeliling kita.



Rasulullah SAW bersabda: 
“Ketahuilah dalam jasad manusia ada seketul daging, jika ia baik maka baiklah jasad itu dan jika ia rosak maka rosaklah jasad itu, itulah yang dinamakan hati.”
 (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Terdapat 18 cara dan rawatan hati yang perlu dilakukan supaya hati kalian dapat dirawat dan terhindar daripada penyakit hati. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1.  Mentarbiah hati supaya mencintai Allah SWT dengan sedalam-dalamnya.
2.  Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran.
3.  Mendekatkan kepada Allah SWT dengan amalan-amalan sunat.
4.  Khusyuk dalam solat.
5.  Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah SWT.
6.  Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah SWT dan mengharapkan keredaan-Nya.
7.  Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.
8.  Beriktikad dengan akidah yang betul.
9.  Sentiasa melakukan muhasabah diri.
10.  Memperuntukkan masa bagi Allah SWT menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.
11.  Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.
12.  Tunduk dan khusyuk kepada Allah SWT dalam segenap tindakan dan perbuatan.
13.  Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.
14.  Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah SWT.
15.  Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.
16. Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan.
17. Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.
18. Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang soleh yang boleh dijadikan teladan.



Sumber:

  • Laman Web Rasmi Mufti Perlis
  • Cinta Allah Cinta Abadi


Saturday 2 February 2013

WAKTU MUSTAJAB BERDOA


Setiap amalan dalam Islam ada waktu-waktu tertentu yang lebih afdal untuk kita laksanakan. Contoh solat tahajjud dilaksanakan di waktu malam selepas solat Isya’ sebelum subuh. Puasa sunat pula digalakkan untuk berpuasa setiap hari Isnin dan Khamis dan pertengahan bulan Islam (tiga hari puasa).

Begitu juga berdo’a kepada Allah s.w.t . Ada waktu-waktu mustajab do’a yang perlu kita ketahui dan menggunakan waktu tersebut untuk bermunajad di sisi Allah s.w.t. Menurut Ibn Atha’, do’a mempunyai beberapa rukun yang kuat menyebabkannya naik ke langit untuk diterima Allah s.w.t. Rukun yang paling utama ialah hadir hati dan memohon dengan tawadhuk. Sayap-sayap do’a itu ialah berdo’a dengan penuh keikhlasan dari hati dan bertepatan dengan waktu.

Terdapat 22 waktu dimakbulkan do’a ialah :

1.  Berdo’a sewaktu hujan turun.


“Berdo’alah pada waktu mustajab do’a iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun” (Hadis Riwayat Abu Daud).

2.  Ketika hendak bersolat berdasarkan hadis diatas.
3.  Selesai membaca al-Fatihah dalam solat.
4.  Selepas mengucapkan ‘Amin’ apabila selesai membaca surah al-Fatihah.

“Apabila imam mengatakan ‘Amin’, maka ucapkanlah ‘Amin’. Sesiapa yang mengucapkan ‘Amin’ bersama dengan para malaikat, diampunkan dosa yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

5.  Pada waktu tengah malam, terutama sepertiga malam yang terakhir.
“Allah s.w.t. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : ‘Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Kuberikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk Ku ampunkan?” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


6.  Waktu di antara azan dan iqamah.

“Tidaklah ditolak do’a di antara azan dan iqamah.” (Hadis Riwayat Tirmizi).

7.  Ketika sujud dalam solat.


“Sehampir-hampir hamba kepada Tuhannya ialah pada waktu sujud, maka perbanyakkanlah berdo’a.”
(Hadis Riwayat Muslim).


8.  Selepas berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w dalam tahiyat akhir.

9.  Selesai solat fardu.

“Ditanya kepada Rasulullah s.a.w., ‘Do’a manakah yang didengar (Allah)’ Sabda baginda, “Do’a itu mustajab pada waktu malam dan selesai solat fardu.” (Hadis Riwayat Tirmizi).

10.  Sepanjang waktu berpuasa.


Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, “Tiga bentuk do’a yang dimustajabkan Allah; do’a ibu bapa terhadap anak, do’a orang yang berpuasa dan do’a orang yang bermusafir.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

11.  Malam al-Qadar berlaku pada bulan Ramadhan.

12.  Ketika khatam 30 juz al-Qur’an.

13.  Sepanjang hari Jumaat itu, dengan harapan bersua dengan waktu mustajab do’a.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Pada hari Jumaat itu, ada satu waktu yang apabila seseorang hamba memohon kepada Allah sesuatu, maka akan diberikan-Nya”. (Hadis Riwayat Bukhari).

14.  Sepanjang perjalanan semasa bermusafir.

“Tiga bentuk do’a yang pasti dimakbulkan Allah, iaitu ; do’a orang yang teraniaya, do’a orang yang bermusafir dan do’a ibu bapa terhadap anaknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

15.  Pada hari ‘Arafah iaitu 9 Zulhijjah.
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Sebaik-baik do’a adalah pada hari ‘Arafah, dan sebaik-baik do’a yang aku dan para nabi yang lain ucapkan ialah (maksudnya) : ‘Tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu’. (Hadis Riwayat Tirmizi)

16.  Ketika berjihad dan sewaktu melaksanakan ibadah haji atau umrah.

“Orang yang berjihad pada jalan Allah dan orang yang mengerjakan haji serta umrah merupakan tetamu Allah, Dia menyeru (memerintahkan) mereka dan mereka menjawabnya (menunaikannya) mereka berdo’a kepada Allah lalu Allah terimanya.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

17.  Ketika iman meningkat kerana berbuat taat.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “…dan adalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan ibadah yang sunat hingga Aku mencintainya, jika Aku sudah mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar dan penglihatannya yang dengannya dia melihat dan tangannya yang dengannya dia menyentuh dan kakinya yang dengannya dia melangkah, dan jika dia meminta akan Kuberikan dan jika dia meminta perlindungan nescaya akan Kulindungi.”

18. Waktu menerima ujian.

“Atau siapakah yang memperkenankan do’a orang yang menderita apabila ia berdo’a kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit antara kamu yang mengingati nikmat Allah itu (Surah al-Naml ayat 62)

19.  Ketika berperang kerana Allah.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, “Dua jenis do’a yang tidak akan ditolak oleh Allah s.w.t. atau jarang-jarang sekali ditolak; do’a sewaktu azan dan ketika berlakunya peperangan.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)


20.  Ketika menghadiri penyelenggaraan jenazah.
Ummu Salamah r.ha. melaporkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Apabila engkau menziarahi orang yang sakit atau menziarahi jenazah, berkatalah hal yang baik-baik, kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu katakan itu.” (Hadis Riwayat Muslim)

21.  Selepas saat kematian seseorang.
Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.ha. bahawa Nabi s.a.w. menziarahi jenazah Abu Salamah r.a lalu menutup matanya. Baginda bersabda maksudnya, “Sesungguhnya roh seseorang yang keluar dari jasadnya akan diekori oleh mata.” lalu baginda bersabda lagi yang bermaksud : “Janganlah kalian berdo’a untuk diri kalian melainkan perkara yang baik sahaja kerana malaikat mendo’akan untuk kalian.” Baginda kemudiannya mendo’akan untuk Abu Salamah r.a”.

22. Ketika ayam berkokok.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu mendengar ayam berkokok, mohonlah anugerah-Nya, kerana ayam itu melihat malaikat.” (Hadis Riwayat Bukhari) 

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita berusaha untuk berdo’a diwaktu-waktu mustajab do’a. Semoga dengan ikhtiar kita yang sedikit ini Allah perkenankan do’a-do’a kita dan meletakkan diri kita bersama barisan hamba-hamba-Nya yang di redhai di dunia dan akhirat.

(Dipetik dari buku 101 Do’a daripada Hadis-hadis Sahih oleh Ustaz Zahazan Mohamed.)

Credit:  zuhairinopiah.blogspot